Sabtu, 5 Januari 2013

Masak Lemak Kulit Rambai

    Sekarang ini adalah musim buah-buahan. Buah - buahan yang selalu nampak dijual sekarang seperti duku, langsat ( tak berapa nak ada ), rambai manakala durian baru lepas musimnya.

   Penduduk di negeri Terengganu selalunya akan menggunakan buah rambai secara optimun, dimana isinya akan dimakan. Selalunya ditelan sekali dengan biji rambai. Pasti keesukannya akan susah nak buang air besar jika makan terlalu banyak. Kalau zaman sebelum awal 1980an, musim - musim buah seperti ini, pasti akan banyak tumbuh anak - anak pokok seperti pokok rambai, duku, langsat dan juga manggis ( ada ke? aku pun tak perasan ). Sebabnya pada zaman itu orang buang air besar di belukar dan yang keluar sebagai kumuhan itu seperti biji buah yang ditelan.

   Pada minggu lepas, anak aku nak makan buah rambai. Sewaktu aku dan keluarga ke pasar malam di Kuala Berang, aku beli seikat buah rambai berharga RM3 seikat. Rasa macam mahal, tapi anak nak makan juga terpaksa lah beli walaupun harga duku lebih murah dari harga buah rambai.

   Anak aku memakan buah rambai manakala kulitnya aku suruh mereka simpan untuk dimasak. Dengan seikat buah rambai tersebut dapatlah untuk sekali buat masakan masak lemak kulit rambai.

K

   Generasi sekarang mungkin ramai yang tidak mengetahui cara - cara untuk memasak kulit rambai. Alhamdulillah aku masih boleh memasak kulit rambai melalui pertanyaan dan melihat emak aku memasak kulit rambai sebelum ini. Dibawah ini aku bagilah resipi lebih kurang cara memasak kulit rambai. 

Bahan - bahan 

1. Kulit Rambai 
2. Ikan selayang/ikan kembung  ( tapi lagi sedap ikan selayang sebab lebih manis ) - 3 ekor 
3. Kerisik ( orang kampung aku panggil nyiur gula dan lagi sedap jika dibuat sendiri dari yang dibeli )
4. Bawang Putih - secukup rasa
5. Bawang Merah-secukup rasa
6. Garam - secukup rasa (aku lebih suka guna garam kasar )
7. Santan


Cara - cara memasak

1. Kulit rambai

   Kulit rambai dicelur terlebih dahulu. Apabila air mula mendidih angkat periuk rebusan kulit rambai dan toskan airnya. Setelah kulit rambai agak sejuk, taburi segengggam garam kasar ( tak pasti boleh atau tak letak garam halus ) dan ramaskan kulit rambai bersama garam tersebut. Cara meramas seperti meramas kelapa parut untuk mendapatkan santan. 

  Setelah tamat proses meramas bersama garam, basuhkan kulit rambai dan ulang proses meramas sehingga 2 kali supaya rasa masam kulit rambai dapat dikurang kan.

2.  Ikan selayang/ikan kembung

   Ikan selayang direbus dan dimasukkan sedikit garam dan asam keping. Setelah ikan masak, ambil isinya sahaja dan hancurkan lebih kurang isi ikan tersebut.

3. Kerisik  ( nak guna yang beli pun boleh, tapi rasanya tak sedap jika buat sendiri )

   Ambil segenggam kelapa parut/nyiur kukur. Gorengkan dalam kuali tanpa minyak dan menggunakan api yang kecil. Selepas kelapa parut bertukar warna perang kehitaman dan mengeluarkan aroma yang mengasyikkan bolehlah diangkat dari kuali. Setelah itu kelapa parut yang telah digoreng ditumbuk didalam lesung batu sehingga mengeluarkan cecair. Bila keluar cecair tersebut, maka siaplah kerisik/nyiur gula anda.

4. Bawang putih dan bawang merah


   Hiriskan bawang putih dan merah halus2. Cara hirisan terpulang lah. Kalau malas nak hiris halus, hiris je lah secara kasar. Bukan orang marah pun kang. Nak makan untuk diri sendiri.

Prosedure Memasak

  Setelah semua proses diatas siap, masukkan santan didalam periuk, dan seterusnya masukkan hirisan bawang. Santan dimasak menggunakan api sederhana dan perlu sentiasa dikacau. Setelah santan mendidih, masukkan isi ikan selayang dan juga garam. Jangan terlupa garam, nanti tawar pulak.

   Seterusnya masukkan kerisik dan yang terakhirnya masukkan kulit rambai. Jangan biarkan masakan lambat diangkat setelah masukkan kulit rambai kerana mengakibatkan masakan kulit rambai akan masam. Tempoh masa mungkin antara 3 hingga 5 minit dari masa kulit rambai itu dimasak. Tip yang paling utama untuk memasak kulit rambai ini, jangan sesekali masukkan kulit rambai waktu awal memasak kerana akan mengakibatkan masakan terasa masam dan silap-silap masakan anda ini masuk ke longkang. 


Masak lemak kulit rambai

   Resipi yang aku bagi ini adalah menggunakan bahan asas sahaja. Masak ini juga boleh juga dimasukkan lada besar, petai, kacang panjang dan juga udang kecil. Sekian, selamat mencuba


   











  





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan